in

Dari Mana Asalnya Cili?

Menurut ahli sejarah, cili hanya tiba secara besar-besaran di benua Asia selepas abad ke-17.

Cili merupakan sejenis tumbuhan yang penting dalam masakan di Asia. Baik di China, Korea, India, mahupun di bahagian Nusantara, cili penting dalam menghasilkan masakan dari negara-negara tersebut.

Bagaimanapun, cili bukanlah secara natif, berasal dari benua Asia. Ini kerana cili sebenarnya berasal dari benua Amerika, terutamanya di benua Amerika Tengah seperti Mexico, Guatemala dan El Salvador.

Cili adalah salah satu dari makanan yang telah menjadi keperluan dan kesukaan manusia. Memakan cili telah menjadi suatu diet bagi masyarakat Amerika sejak 7,500 tahun lalu sebelum Masihi.

Terdapat bukti tapak penemuan arkeologi yang terletak di barat daya Ecuador yang menjadikan cili sebagai makanan sejak 600 tahun lalu, dan ia merupakan salah satu dari kawasan penanaman cili yang terpenting di benua Amerika pada ketika itu sebagai ladang cili.

Terdapat beberapa pendapat tentang kemasukan cili ke benua Asia, terutamanya di bahagian Nusantara. Salah satunya ialah melalui Columbian Exchange, di mana cili serta beberapa makanan dari benua Amerika seperti nanas, kentang, tomato, kopi dan koko dibawa ke Melaka selepas Portugis menawan Melaka pada tahun 1511.

Portugis selaku penguasa Melaka ketika itu, membawa cili-cili dari kawasan tanah jajahan mereka di Brazil, berlayar hingga ke Goa, India dan membawa cili tersebut ke Melaka, seterusnya tersebar di seluruh Nusantara.

Terdapat satu lagi teori di mana ada yang mengatakan bahawa cili sudahpun berada di benua Asia, terutamanya di China kerana dikatakan menemui benua Amerika dahulu sebelum Christopher Columbus.

Dalam buku yang ditulis oleh Gavin Menzies, pedagang China telah menemui Amerika melalui bukunya 1421: The Year China Discovered The World. Pun begitu, tulisan ini tidak dapat dibuktikan secara sah memandangkan tiada bukti kukuh kecuali hanya beberapa teori sahaja.

Cili mula diperdagangkan secara pukal dan tidak lagi eksklusif untuk golongan aristokrat apabila Belanda menguasai Melaka pada tahun 1641. Penguasaan Belanda di New Amsterdam (kini New York) menjadikan perdagangan cili antara yang menjadikan Syarikat Hindia Timur Belanda (VoC) sebagai sebuah syarikat paling kaya di dunia.

Hari ini, cili yang menjadi asas kepada sambal, menjadi asas kepada masakan hampir seluruh Asia. Rasanya yang pedas dan menambat selera, menyebabkan ia menjadi bahan yang penting bagi suri rumah untuk memasak.

Di Malaysia, cili ditanam di kawasan tanah rendah kerana cuacanya yang sesuai dengan tumbuhan tersebut. Cili juga ditanam di rumah-rumah sebagai langkah untuk berjimat-cermat daripada membeli barang dapur.

Sambil kita makan sambal nasi lemak, atau makan masak lemak cili api yang pedas itu, fikirkan, semua makanan yang pedas ini tidak akan wujud, jika tiada siapa yang mengambil cili di Amerika untuk ditanam di sini. Dan cili, adalah makanan yang pertama dieksport dari Amerika ke sini.

Read more

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

Comments

0 comments

Eat and Repeat: Nikmati Pelbagai Jenis Makanan Dengan RM1.90 Semangkuk!

JAIS serbu restoran dengan sijil halal palsu di Shah Alam