in

Dari mana datangnya kacang pool?

Kacang pool ini berasal dari Mesir – ful medames, menunjukkan hubungan rapat kesultanan Johor dan Mesir pada abad ke-19

Siapa yang ke Johor Bahru – sudah semestinya terdengar cadangan dari rakan-rakan agar menikmati juadah yang diberi nama kacang pool. Juadah yang diminati ramai orang, terutamanya sarapan pagi – sangat popular dengan nama “Kacang Pool Larkin” atau “Kacang Pool Bomba”, kerana gerainya terletak bersebelahan dengan balai bomba.

Tetapi, tahukah anda bahawa pensejarahan kacang pool ini sangat panjang, dan bermula dengan hubungan baik kesultanan Melayu Johor dengan Dinasti Sultan Muhammad Ali di Mesir pada abad ke-19?

Apakah itu kacang pool?

Cara untuk memasak kacang pool ialah dengan menumis bahan-bahan tumis seperti bawang merah, serbuk ketumbar, serbuk kari daging dan lada hitam dengan minyak sapi (ghee), sebelum ditambah bahan-bahan seperti daging kisar, kacang parang yang direndam, kacang bakar dalam tin (baked beans) serta garam dan gula, secukup rasa.

Kacang pool ini berasal dari Mesir, iaitu ful medames, yang popular sebagai makanan sarapan pagi di kota Kaherah dan Giza di Mesir. Makanan ini biasanya dimakan bersama roti dan dicicah bersama-sama telur rebus. Namun di Johor, ia meletakkan telur mata di atas kacang tersebut.

Sejarah kacang pool

Sultan Abu Bakar, Sultan Johor 1862-1895

Namun, bagaimana resipi dari Mesir ini tiba di Johor?

Semasa abad ke-19, Sultan Abu Bakar, Sultan Johor melaksanakan transformasi ekonomi dalam usaha memajukan ekonomi negeri Johor. Kerjasama rapat antara baginda bersama British, dalam pembangunan ekonomi, menjadikan ekonomi Johor makmur pada ketika itu.

Tatkala Selangor sedang dilanda perang saudara iaitu Perang Kelang, dan negeri-negeri di sebelah utara dan timur diduduki tentera Siam, Johor menjadi negeri yang progresif dengan pembangunan sistem Kangchu, iaitu penanaman ladang gambir dan lada hitam dari Pagoh hingga ke Pontian.

Mesir pula sebuah negara yang baru sahaja merdeka daripada penjajahan Turki Uthmaniyyah, apabila Muhammad Ali, dari keturunan Mamluk, bangkit dan menumpaskan penjajahan Turki. Namun, Napoleon dan tentera Perancis datang menyerang, namun kekalahan di Waterloo, menjadikan British memasuki Mesir dan menggunakan sistem residen, seperti di Tanah Melayu.

British mendapati juadah ful medames ini juadah yang sudahpun berada di Mesir sejak zaman purba Mesir kira-kira 2,600 tahun sebelum itu, lalu membawa juadah tersebut ke Johor.

Baginda Sultan Abu Bakar menggemari makanan tersebut, dan menjadi popular – dan sejak itu, kacang pool mula bertapak di Johor.

Selain itu juga, kehadiran pedagang Arab terutamanya dari Mesir menjadikan kacang pool popular di Johor.

Kacang pool Haji, cawangannya di Precinct 9, Putrajaya.

Hari ini, kacang pool bukan sahaja dinikmati di Johor Bahru, tetapi boleh didapati di seluruh negara. Di Lembah Kelang, kacang pool boleh dinikmati di Kacang Pool Sentul, Rendezvous Kacang Pool 88 di Jalan Loke Yew serta di cawangan Kacang Pool Haji Larkin yang berada di Precinct 9, Putrajaya.

What do you think?

-2 points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

Comments

0 comments

FGV dan Samyang bakal dirikan kilang ramen halal di Malaysia

Pasaran tempeh dijangka mencecah $AS 6 billion menjelang 2026